3 ELEMEN SERIKAN RUMAH
USAHA menghias kediaman lebih bermakna jika anda memperuntukkan bajet tertentu bagi mengelak pembaziran.Kebijaksanaan menghias ruang dengan warna dinding, perabot dan perhiasan sedia ada secara kreatif mampu menjimatkan perbelanjaan.
Pemilihan tepat tiga elemen utama iaitu teknik pencahayaan, warna dinding dan perabot mampu menghasilkan kesan menarik.
Teknik pencahayaan yang sesuai penting untuk melahirkan suasana pelengkap konsep hiasan dalaman anda.Lampu kuning perlu diselenggarakan sebaik mungkin untuk menghidupkan ruang dan gabungan sumber cahaya kuning serta putih pula mewujudkan senario berbeza.Biasanya cahaya putih digunakan pada siling berlekuk dan dinding tumpu sementara lilin juga boleh dijadikan salah satu sumber cahaya yang menarik.
Bagi kemasan dinding pula, anda tidak perlu mengecat keseluruhan dinding, memadai sebahagian saja sebagai titik tumpuan. Warna cerah dan terang boleh digunakan untuk memberikan kesan lebih luas dan pastikan ia yang dipilih kelihatan menarik dan bertenaga.Dua tona warna berbeza disarankan untuk ruang tamu manakala ruang makan lebih sesuai ditampilkan warna terang dan lembut bagi menaikkan seri suasana.
Di bilik tidur, hanya satu dinding sesuai dicat dengan warna terang, iaitu dinding pertama yang dilihat apabila pintu dibuka.Perhiasan seperti bantal hiasan, sarung sofa, fabrik langsir, jambangan bunga antara elemen penting yang mampu menyuntik keindahan semula jadi.Gunakan warna terang untuk sarung bantal hiasan dan sarung sofa bagi mewujudkan suasana ceria.Selarikan warna fabrik langsir dan sarung sofa bagi menghasilkan sentuhan menarik dan mempesonakan.
Jambangan bunga hidup tona terang ada kalanya mengilhamkan ketenangan dan sesuai diletakkan pada ruang tertentu seperti ruang tamu, ruang makan dan bilik tidur.
Sumber : Harian Metro
0 Comments:
Post a Comment
<< Home